Malaysia Membangunkan Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan bagi Negara-Negara Membangun & Pasca Perang
Lawatan rasmi saya ke Switzerland dari 6 hingga 9 September 2024 atas jemputan Institut Perdagangan Dunia (World Trade Institute – WTI) memberikan saya peluang berharga untuk mengadakan beberapa pertemuan penting dan perbincangan strategik. Lawatan ini bertujuan memperkukuhkan hubungan dua hala serta mengukuhkan lagi agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia.
Dalam lawatan ini, saya berkesempatan untuk bertemu dengan beberapa tokoh penting termasuk Presiden Institut Kajian Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Profesor Tetsuya Watanabe, Ketua Pakar Perdagangan Bank Dunia, TYT Dr. Roberto Echandi, serta Pengurus Praktis dan Perdagangan Global di Bank Dunia. Perbincangan kami berkisar mengenai pelaksanaan program pembangunan kapasiti atau ‘capacity building’, yang bertujuan membangunkan bakat dan kepakaran yang boleh menyumbang kepada kemajuan negara serta peringkat global.
Hasil pertemuan ini, satu persetujuan telah dicapai untuk menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan bagi belia dari negara-negara membangun dan pasca perang. Antara negara yang terlibat dalam inisiatif ini termasuk Afghanistan, Iraq, Libya, dan Timor Leste.
Pemilihan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan ini adalah satu pengiktirafan besar buat negara. Ia juga seiring dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memberikan akses pendidikan berkualiti kepada belia negara-negara ini. Melalui pendidikan tinggi, mereka akan diperkasakan dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk membangunkan negara mereka yang telah terkesan akibat konflik atau kelembapan ekonomi.
Selain itu, inisiatif ini juga merupakan langkah penting dalam mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai peneraju pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa. Pada peringkat awal, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan memainkan peranan penting sebagai penyelaras bagi program-program latihan dan pendidikan ini.
Lawatan empat hari saya ke Switzerland bukan sahaja berjaya memperkukuh kerjasama dua hala, tetapi juga membuka ruang strategik untuk Malaysia melaksanakan agenda pembangunan bakat terbaik di peringkat antarabangsa. Ini juga selaras dengan hasrat Kementerian untuk mengantarabangsakan pendidikan tinggi Malaysia dan memperluaskan capaian serta pengaruh kita di pentas global.
Dengan mandat baru ini, saya yakin Malaysia akan terus maju sebagai negara yang bukan sahaja membangunkan bakat tempatan, tetapi juga membantu negara-negara membangun dan pasca perang dalam usaha mereka membina masa depan yang lebih baik.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir
Menteri Pendidikan Tinggi
10 September 2024
RUJUKAN : https://www.mohe.gov.my/hebahan/kenyataan-media/kenyataan-media-malaysia-bangunkan-pusat-kecemerlangan-pendidikan-dan-latihan-bagi-negara-negara-membangun-selepas-perang
Save0